Kesan Pelanggaran Prosedur Poligami Seksyen 127, OUUKI, 2001 Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah

BAHAGIAN PENDAKWAAN

JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK

 

SIRI PENERANGAN

ORDINAN  UNDANG-UNDANG

KELUARGA  ISLAM, 2001

 

Permohonan Poligami

Seksyen 21, OUUKI, 2001

Poligami

 

&

 

Kesan Pelanggaran Prosedur Poligami

Seksyen 127, OUUKI, 2001

Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah

Latarbelakang

 

          Apabila menyentuh tentang persoalan berhubung Poligami ramai di kalangan masyarakat mengandaikan ia lebih menjurus dan memihak kepada pihak lelaki iaitu Suami.

Sebenarnya menerusi peruntukan di bawah Seksyen 21, Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, 2001 memberi keadilan sewajarnya bukan sahaja kepada pihak suami bahkan kepada pihak isteri ataupun isteri-isteri  yang sedia ada.

Seksyen 21, OUUKI, 2001

Poligami

 

  1. Tiada lelaki semasa kewujudan sesuatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akadnikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.
  2. Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Ordinan ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Undang-Undang Islam dan Mahkamah telah memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada Seksyen 127.
  3. Subseksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Negeri akan seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau di luar Negeri dan perkahwinan di luar negeri akan seseorang lelaki yang bermastautin dalam Negeri.
  4. Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu ‘iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa ini, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungan, termasuk orang-orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.
  5. Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, jika ada, dan mana-mana orang lain yang pada pendapat Mahkamah boleh memberi maklumat berhubungan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati –

[a] bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandangkan kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada;

[b] bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana yang dikehendaki oleh Undang-Undang Islam, semua isteri dan orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

[c] bahawa pemohon akan berupaya memberikan layanan sama rata kepada semua isterinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Undang-Undang Islam; dan;

[d] bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

  1. Satu salinan permohonan di bawah subseksyen (4) dan ‘iqrar yang dikehendaki oleh subseksyen itu hendaklah disampaikan bersama dengan surat panggilan ke atas tiap-tiap isteri yang sedia ada dan bakal isteri.
  2. Mana-mana pihak yang terkilan atau tidak berpuashati dengan apa-apa keputusan Mahkamah boleh merayu terhadap keputusan itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam Ordinan Tatacara Mal Syariah, 2001 [ Bab 41 ].
  3. Mana-mana orang yang membuat akad nikah perkahwinan bersalahan dengan subseksyen (1) dan (2) hendaklah membayar dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dn pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jumlah itu, jika tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.
  4. Tatacara bagi akadnikah dan pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini adalah serupa dalam serba perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan di dalam Negeri di bawah Ordinan ini.
  5. Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan oleh mana-mana pihak kepada perkahwinan, menghendaki orang lelaki supaya membayar nafkah kepada isteri atau isteri-isteri dan orang tanggungannya yang sedia ada.

 

Penerangan

Secara umumnya peruntukan undang-undang di atas telah menggariskan prosedur yang perlu dipohon oleh pihak Suami yang berhasrat untuk berkahwin sama ada untuk kali yang kedua, ketiga dan keempat.  Namun masih wujud, segelintir dari pihak suami  mengambil dan membuat keputusan untuk meneruskan hasrat melangsungkan perkahwinan dengan cara yang tidak menurut permohonan yang telah ditetapkan. Pada asasnya perkahwinan yang dibuat adalah digalakkan bagi pasangan namun perkara yang menjadi tohmahan adalah akibat daripada tindakan melakukan perkahwinan tersebut dilakukan dengan jalan pintas sama ada dilangsungkan di luar negeri atau di dalam Negeri Sarawak sendiri.

Akibat dan kesannya akan mula menghantui pasangan apabila permasalahan berlaku kerana pasangan tidak mempunyai dokumen perkahwinan yang diiktiraf serta pasangan tersebut perlu mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Jabatan Agama Islam Sarawak. Merujuk kepada prosedur yang ada pasangan perlu memohon Pengesahan Perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum perkahwinan terbabit didaftarkan di  Jabatan Agama Islam Sarawak. Pasangan juga akan mengalami kesulitan jika melibatkan pendaftaran kelahiran anak dan persekolahan jika dokumen sijil nikah yang diiktiraf tidak diuruskan oleh pasangan terbabit.  Apa yang paling membimbangkan apabila pasangan berhasrat untuk memfailkan perceraian sedangkan pada asasnya dokumen perkahwinan itu sendiri perlu dibuktikan terlebih dahulu telah berlakunya akad nikah yang sah dari sudut hokum syarak itu sendiri.

 

Kesan Pelanggaran

Prosedur Permohonan Poligami

 

Seksyen 127, OUUKI, 2001

Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah

 

Seseorang lelaki yang semasa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan, berkahwin lagi di mana-mana jua tempat tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah

dihukum denda tidak melebihi Tiga Ribu Ringgit atau Penjara tidak Melebihi Dua Tahun atau kedua-duanya dan penjara itu.

 

 

Contoh Kes :

 

En. Hop ( Nama Samaran ) mengenali Cik Jammie ( Nama Samaran )  dan berhasrat untuk memperisterikannya. Namun memandangkan En. Hop telah mempunyai isteri iaitu Pn. Kathy, maka En. Hop telah mengambil tindakan nekad dengan  memalsukan identiti dan dokumen berkaitan dengan meletakkan status sebagai ‘Bujang’ di dalam Borang Permohonan Untuk Kebenaran Kahwin / Berkahwin Di Bawah Umur / Bercerai Sebelum Jimak / Wali Hakim. Setelah semua dokumen diisi dengan lengkap, maka majlis akadnikah telah dilangsungkan.

Pihak Jabatan Agama Islam Sarawak, yang bertanggungjawab terhadap pengurusan perkahwinan, perceraian, rujuk dan poligami hal ehwal orang Islam telah menerima aduan daripada Pn. Kathy berhubung perkahwinan kali kedua pihak suami di jabatan.  Setelah aduan tersebut disiasat dan diteliti, didapati En. Hop telah memalsukan status identiti kepada ‘bujang’ semata-mata untuk perkahwinan tersebut dan berkahwin dengan isteri Cik Jammie sedangkan En. Hop pada masa itu sebenarnya masih mempunyai Isteri yang sedia ada, Puan Kathy.

 

Penerangan

 

Merujuk kepada kejadian kes ini, En. Hop dan Pn. Jammie boleh didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan yang dilakukan seperti dibawah ;

 

Kesalahan yang boleh dikenakan ke atas En. Hop, antaranya ialah :

 

  1. Seksyen 36, OUUKI, 2001 iaitu

Akuan ‘Iqrar Atau Pernyataan Palsu Untuk Mendapatkan Perkahwinan

 

(36) Jika seseorang bagi maksud mendapatkan perkahwinan dilakukan di bawah Ordinan ini, sengaja membuat sesuatu akuan ‘iqrar atau pernyataan yang palsu, maka orang itu adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah

dihukum denda tidak melebihi Satu Ribu Ringgit atau Penjara Tidak Melebihi Enam Bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 

En Hop setelah diperiksa dan diteliti dokumen yang telah diberikan kepada pihak jabatan telah didapati Memalsukan Status Berkahwin dengan meletakkan ‘Bujang’ di dalam ‘Borang Permohonan Perkahwinan’ kali Kedua dengan Pn. Jammie. Kebenaran ini dibuktikan menerusi Dokumen Sijil Perkahwinan yang dikemukakan oleh Isteri  Pertama En. Hop iaitu Pn. Kathy ke Jabatan Agama Islam Sarawak.  Selain itu, tiada keraguan timbul bahawa sepanjang tempoh tersebut tidak pernah berlaku perceraian antara En. Hop dengan Pn. Kathy [ Talaq Bain Kubra ] semasa tempoh perkahwinan dilangsungkan oleh En. Hop dengan Pn. Jammie.

 

Hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas En. Hop berdasarkan budibicara pihak Mahkamah Syariah.

 

 

 

Selain daripada itu, En. Hop juga boleh dikenakan dan didakwa dibawah Seksyen 127, OUUKI, 2001, Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah.

Perkahwinan kali kedua sepatutnya dirujuk terlebih dahulu dan mendapat Kebenaran Bertulis daripada Hakim Syarie di Mahkamah Syariah.  Memandangkan En. Hop gagal berbuat demikian dan telah mengambil tindakan berkahwin kali kedua tanpa mendapatkan kebenaran daripda pihak Mahkamah Syariah, maka En. Hop juga didakwa di bawah seksyen di bawah ini.

 

  1. Seksyen 127, OUUKI, 2001 iaitu

Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah

(127) Seseorang Lelaki yang, semasa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan, berkahwin lagi di mana-mana jua tempat tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah

 dihukum denda tidak melebihi

RM 3,000.00 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 

Hukuman ke atas En. Hop dijatuhkan berdasarkan budibicara pihak Mahkamah Syariah.

 

 

  1. Seksyen 38, OUUKI, 2001 iaitu

Kesalahan-Kesalahan Berhubung  Dengan AkadNikah Perkahwinan

 

  1. (1) Seseorang yang diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan –

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 17 ; atau

(b) di hadapan selain daripada di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, adalah melakukan kesalahan dan hendaklah

dihukum denda tidak melebihi Satu Ribu Ringgit atau Penjara Tidak Melebihi Enam Bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 

 (2)  Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan  dan hendaklah

dihukum denda tidak melebihi Satu Ribu Ringgit atau Penjara Tidak Melebihi Enam Bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Kesalahan yang boleh dikenakan ke atas Pn. Jammie pula ialah di bawah Seksyen 38, OUUKI, 2001 seperti yang diperuntukkan di atas.

Hukuman yang bakal dijatuhkan jika sabit kesalahan juga tertakluk kepada budibicara pihak Mahkamah Syariah

 

KESIMPULAN

Berkahwin merupakan Sunnah Rasulullah S.A.W. Namun, dalam mendepani fenomena masyarakat yang semakin kompleks suatu tatacara perlu bagi menjamin keadilan dan keamanan kehidupan manusia sejagat. Oleh itu, setiap perlakuan manusia mesti dikawalselia menerusi prosedur dan undang-undang bagi mengelakkan penganiayaan kepada mana-mana pihak.

Selain dari itu, adalah wajar jika undang-undang dan peruntukan seumpama ini dihayati bagi melahirkan sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

 

Segala  Pertanyaan

Boleh Menghubungi Kami di  Talian :

Talian Am  : 082-241257       No Fax : 082-258145

Sila  layari  laman  sesawang

http://www.jais.sarawak.gov.my                                                       Email: kgjaishq@sarawak.gov.my

‘untuk sebarang maklumat, pandangan dan cadangan’

“KEPRIHATINAN ANDA AMAT DIHARGAI”

Jangan Lupa Klik Sini
Apa yang menarik tentang burger king menyarung castom Mc Donald. Ini berlaku di ketika perayaan Halloween
Kalau di Sarawak amalan suap menyuap suami isteri dimulakan semasa persandingan. Kini barulah saya faham
Kedai gunting lelaki milik orang bumiputra dan Melayu sedikit. Hampir tidak ada. Itu yang saya
Memang sukar nak percaya kini telah ada produk untuk menyediakan produk makanan segera dengan mudah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

%d bloggers like this: